Michael Carrick dinamakan selaku ketua pasukan baru Manchester United untuk menggantikan peranan bekas penyerang, Wayne Rooney.

Rooney dilantik sebagai kapten dalam era Louis van Gaal, namun penjaring terbanyak England itu menamatkan karier 13 tahunnya di Old Trafford minggu ini apabila kembali ke Everton susulan kerap dipinggirkan oleh Jose Mourinho.

Mourinho memberikan lilitan lengan itu kepada Carrick yang sudah lama berkhidmat di United.

"Saya berasa hebat, ia satu penghormatan besar untuk mengetuai pasukan hebat seperti ini," ujar Carrick kepada MUTV.

"Ini merupakan tahun ke-12 saya di sini di mana saya tiba pada usia 25 tahun dan tidak menjangka akan bertahan di sini dan mencapai banyak kejayaan.

"Saya akan cuba mengetuai dan membimbing bakat muda dengan cara yang sama. Ia sesuatu yang menarik dan saya sangat berbesar hati.

"Saya hadir di kelab ini sebagai pemain dan kini saya merupakan peminat tegar mereka. Saya semakin mencintai kelab ini dan untuk berada di posisi ini adalah sesuatu yang istimewa.

"Saya berpesan kepada diri sendiri, anda tidak boleh berubah dan adalah salah apabila mengambil peranan ini, tiba-tiba sahaja saya mula menjerit dan menengking semua orang dan memberi arahan apa yang mereka perlu lakukan.

"Saya bukanlah seperti itu. Saya akan bercakap apabila perlu dan lebih suka bersikap tenang. Saya akan cuba dan memberi contoh yang baik."

Carrick hanya memulakan 18 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan melanjutkan kontraknya selama setahun lagi, Mei lalu.

Sepanjang bermain untuk kelab terkaya di dunia itu, pemain tengah itu memenangi lima kejuaraan liga, tiga piala liga dan satu Piala FA serta Liga Juara-Juara Eropah. Dia kini merupakan pemain paling lama berkhidmat di Old Trafford ekoran perpindahan Rooney.

Carrick sempat memberi penghormatan kepada bekas rakan sepasukannya itu dengan memberi ucapan menerusi Twitter.

"Dia mengejutkan saya betapa bagusnya dia pada hari pertama lagi.

"Menakjubkan. Kami mengharungi tempoh naik dan turun. Akan merinduinya. Semoga berjaya sahabat #Legend."