MAN UNITED 1 WATFORD 0

Michael Carrick percaya prestasi dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Watford di Old Trafford menjadi bukti sudah tiba masa buat dirinya bersara daripada bola sepak.


Carrick, yang bakal menyertai barisan kejurulatihan Jose Mourinho musim depan, merupakan kapten untuk aksi terakhir liga itu yang menjadi penampilannya yang ke-464 -- menyaksikan Marcus Rashford sebagai penjaring gol United untuk memberikan kemenangan 1-0 ke atas Watford.

Memberikan ucapan selepas perlawanan berakhir, Carrick berkata, "Saya mahu mengucapkan terima kasih di atas sokongan anda selama ini, saya meraih kenangan yang terindah. Ia adalah kelab terbaik dunia dan saya mahu mengucapkan terima kasih di atas sokongan selama 12 tahun ini.

"Saya turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan. Saya menghargai setiap apa yang telah dilakukan untuk saya.

"Ia bukan persembahan terbaik saya hari ini tetapi ia membuktikan saya bersara tepat pada masanya. Saya mahu berterima kasih kepada pengurus, saya tidak sabar untuk mempelajari dan terus bekerja di samping beliau."

Carrick turut mengingati bekas pengendali United, Alex Ferguson, yang kini dalam proses pemulihan selepas mengalami pendarahan otak minggu lalu.

"Yang terakhir, ia merupakan minggu yang sukar buat setiap orang di kelab ini. Sebahagian daripada keluarga ini adalah Ferguson dan beliau mengharungi minggu yang sukar, saya mahu mengatakan bahawa saya menghargai sokongan yang anda berikan kepada beliau.

"Kami berharap Ferguson akan segera pulih dan mahu beliau kembali menyaksikan United beraksi."