Bekas pertahanan England, Jamie Carragher, mengkritik kualiti buruk corak permainan antarabangsa dengan menegaskan ia langkah ke belakang bagi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara.

Pasukan kelab kembali mengambil alih aksi pada hujung minggu ini, namun Carragher yang memiliki pengalaman luas, tidak berpuas hati dengan perlawanan kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Carragher -- pernah tampil sebanyak 38 kali bersama England -- tidak berselindung untuk menyatakan bola sepak antarabangsa semakin membosankan selepas menyaksikan Wayne Rooney dan rakan-rakan gagal mengulangi kemenangan 2-0 ke atas Malta, apabila hanya terikat seri tanpa jaringan di Slovenia.

"Perlawanan sebelum ini sangat teruk. Tiada keterujaan, tiada apa yang boleh diperkatakan untuk perlawanan itu atau gol yang boleh disaksikan.

"Sekali lagi, tempoh rehat bagi perlawanan antarabangsa membosankan. Sesuatu perlu diubah," kata Carragher dalam kolum yang ditulisnya untuk Daily Mail.

"Ketika saya membesar, perlawanan antarabangsa adalah misteri. Anda tidak perlu menunggu sehingga Piala Dunia atau kejohanan Eropah untuk melihat aksi pemain yang hangat diperkatakan. Tanpa mengira pasukan mana, anda akan dapat menonton pertembungan antara pasukan terbaik.

"Ia masih dirasai ketika saya mula bermain untuk England. Apabila anda muncul dalam sesi latihan, anda akan mendapati ia sesuatu yang lebih besar berbanding bermain untuk kelab.

"Permainan lebih pantas dan lebih kemas -- tiada tempat untuk bersembunyi dan anda perlu meningkatkan permainan anda untuk kekal.

"Perlawanan antarabangsa ketika ini agak mengecewakan memandangkan pemain-pemain berbakat gagal menyinar sepertimana di kelab. Mereka tidak mahu bersaing dalam perlawanan yang bukan setanding EPL dan Liga Juara-Juara.

"Siapa yang benar-benar teruja untuk menonton perlawanan antarabangsa sekarang berbanding perasaan ketika menonton EPL?

"Jika saya berada di luar rumah dan ada permainan yang sedang berlangsung, saya akan pastikan saya akan pulang sebelum sepak mula.

"Tapi adakah saya akan bergegas pulang untuk menyaksikan perlawanan England? Sudah tentu bukan untuk peringkat kelayakan."