Pemain tengah Liverpool, Emre Can, menegaskan penangguhan kontrak barunya untuk kekal di Anfield bukan kerana wang.

Kontrak pemain kebangsaan Jerman itu bakal tamat penghujung musim hadapan, namun dia masih belum bersetuju untuk menandatangani kontrak baru walaupun perbincangan telah dijalankan.

Bagaimanapun, Can -- penjaring gol kemenangan ketika Liverpool menewaskan Burnley 2-1 -- menjelaskan bahawa penangguhan tersebut tidak melibatkan soal wang.

"Saya telah membaca berita dan ia mengenai wang, tetapi ia tidak melibatkan wang," katanya.

"Kami telah berbincang dan segala-galanya berjalan lancar. Saya gembira bersama Liverpool.

Prestasi Can yang tidak konsisten musim ini sering dihujani kritikan, selepas hanya tampil dalam kesebelasan utama dalam 16 perlawanan dan enam dari bangku simpanan bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas pemain tengah Bayer Leverkusen itu berkata beraksi di luar posisi utamanya serta kecederaan adalah halangannya.

"Saya telah dihantui kecederaan betis buat beberapa lama musim ini dan ia menyukarkan saya kerana tidak berupaya untuk melakukan banyak larian.

"Saya berharap dapat pulih sepenuhnya untuk mempamerkan permainan lebih cemerlang pada masa akan datang."