Emre Can kekal sebagai sasaran Juventus selepas kontrak pemain tengah Liverpool itu bakal tamat pada tahun depan.

Can berada pada tahun terakhir kontraknya bersama Liverpool dan dibenarkan untuk berbincang mengenai masa depannya ketika jendela perpindahan Januari dibuka.

Juventus sebelum ini telah mengesahkan minat mereka terhadap Can, dengan ketua pegawai eksekutif kelab, Giuseppe Marotta, mahu menawarkan kontrak kepada pemain berusia 23 tahun itu.

"Kontrak Can bakal berakhir tidak lama lagi," kata Marotta.

"Saya tidak menafikan dia adalah pemain yang berada di bawah radar banyak kelab gergasi dan akan mendapatkan persetujuan dalam beberapa minggu lagi."

Can telah memulakan 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Liverpool musim ini tetapi terlepas kemenangan 4-0 ke atas Bournemouth semalam kerana digantung perlawanan.

Marotta menafikan pemain tengah Juve, Claudio Marchisio, akan ke Liga Bolasepak Utama (MLS), Januari ini, kerana kurang mendapat masa bermain bersama juara Serie A itu.

"Marchisio masih lagi memberikan komitmennya bersama Juve.

"Dia membesar bersama akademi ini dan tidak meminta apa-apa daripada kami. Saya tidak berasakan dia akan berhijrah," jelasnya.