Bekas pemain pertahanan Arsenal, Sol Campbell, menggesa Mesut Ozil supaya melanjutkan kontraknya bersama kelab itu tanpa memikirkan soal sama ada pengurus, Arsene Wenger, kekal atau tidak.

Kontrak Ozil bakal tamat pada penghujung musim depan dan dia telah menegaskan masa depannya di kelab itu bergantung kepada masa depan Wenger.

Tatkala Campbell -- yang pernah menjulang dua kejuaraan liga bersama kelab itu -- memahami pendirian Ozil itu, namun dia mahu bekas perancang Real Madrid itu melupakan posisi pengurus.

"Seperti pemain hebat yang lain, dia mahukan pengurus yang telah mengikatnya," kata bekas pemain England itu kepada Sky Sports.

"Adalah bagus untuk terus bekerjasama dan selari dengan idea, falsafah pengurus dan sebagainya.

Tambahnya lagi, "Saya memahami mengapa dia berkata sedemikian tapi siapa yang tahu tentang masa depan? Arsene tidak akan menandatangani kontrak empat tahun, maka anda tidak pasti apa yang akan berlaku.

"Dia mungkin akan mengatakan akan kekal setahun lagi dan kemudiannya angkat kaki selepas dua tahun.

"Ozil mungkin akan mengikat kontrak selama empat tahun dan akan berpindah jika ada tawaran."

Dengan lima gol dan tiga bantuan gol, Ozil membantu Arsenal menduduki tangga kelima liga, yang menyaksikan Alexis Sanzhez merekodkan 13 gol.

Campbell, 42, percaya baik Ozil mahupun Sanchez hampir pasti akan menandatangani kontrak baru dan menuntut dua pemain itu supaya memikirkan situasi semasa.

"Ia berkenaan dengan hala tuju Arsenal ketika ini. Saya yakin mereka akan membuat tawaran baru ke atas kedua-dua pemain terbabit dan ia berkenaan soal tolak-ansur dan mengambil kira segenap aspek perjanjian." katanya.

"Pemain mahukan jaminan untuk pengurus terus kekal.

"Anda tidak mahu membuatkan kelab tersepit kerana seorang pengurus."