Cameron sokong pendirian Trump

By Amirul Azreen 3 February 2017
 Cameron sokong pendirian Trump

Pertahanan Stoke City, Geoff Cameron, meluahkan sokongan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang membuat keputusan eksekutif melarang sebarang kemasukan pelawat dari tujuh negara Islam.

Tatkala ramai atlet dunia sukan membantah tindakan Trump, Cameron berpendapat sebaliknya dengan mengatakan bahawa pentingnya untuk bersetuju dengan ketua negara daripada cuba mempertahankan hak orang lain.

"Saya percaya lebih mustahak untuk kita menyokong keputusan ketua negara," ujar Cameron menerusi Sports Illustrated.

"Saya gembira beliau mengutamakan keselamatan rakyat Amerika Syarikat. Musuh kami telah membuktikan bahawa kepincangan dalam sistem imigresen membuka peluang buat mereka melancarkan serangan.

"Larangan sementara bagi memberi masa kepada kerajaan mencari jalan terbaik menangani masalah ini adalah satu tindakan munasabah. 

"Amerika Syarikat merupakan negara yang penuh dengan belas kasihan. Jika kami tidak berasa selamat, bagaimana kami hendak melindungi orang lain?"

Cameron, yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, tidak mendapat sokongan daripada rakan senegaranya yang lain.

Michael Bradley, Alejandro Bedoya, Darlington Nagbe dan Sacha Kljestan turut mengecam tindakan Trump.

Bruce Arena, yang baru dilantik semula selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, turut menentang larangan itu.

"Senario itu amat menyedihkan kerana sukan bola sepak berbentuk global," kata Arena. 

"Orang jahat ada di mana-mana sahaja, termasuk di Amerika Syarikat, tetapi majoriti penduduk di dunia adalah orang baik."

About Author

Amirul Azreen

Comment