FULHAM 2 EVERTON 0

Scott Parker sepatutnya ditawarkan jawatan tetap sebagai pengurus Fulham, kata kapten pasukan itu, Tom Cairney.


Cairney dan Ryan Babel menjaringkan gol dalam separuh masa kedua untuk Fulham -- yang sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan -- mengejutkan Everton dengan kemenangan 2-0 di Craven Cottage, malam tadi.

Ia sekali gus menamatkan badi sembilan kekalahan berturut-turut selain memberikan mata pertama buat Parker sejak menjawat tugasan pengurus sementara bagi menggantikan Claudio Ranieri yang dipecat Februari lalu.

"Keputusan itu menunjukkan laluan yang tepat. Sejak Parker mengambil alih pasukan, kami sedang menuju ke laluan yang tepat," kata Cairney yang menjaringkan gol pada 31 saat pertama babak kedua.

"Ada dapat melihat bagaimana cara pemain bermain untuknya, cara kami memberikan respons.

"Jika terdapat peningkatan dalam tempoh empat ke lima minggu ini, dia perlu ditawarkan jawatan itu.

"Amat sukar untuk meraih kemenangan, namun terdapat peningkatan daripada segi prestasi dan ia berlaku dalam tempoh yang singkat," katanya.

Parker, yang pasukannya telah tersingkir daripada Liga Perdana selepas tewas kepada Watford sebelum ini, menambah kepada BBC Sport: "Kami amat hebat dari awal hingga akhir.

"Kami menunjukkan prestasi sebenar dengan cara kami bermain.

"Itulah yang menggembirakan saya, tentang keinginan kami.

"Kami bekerja keras sepanjang 10 hari ini dan ia amat hebat."

Sementara itu, pengurus Everton, Marco Silva, berasakan pasukannya gagal memanfaatkan peluang untuk melonjak ke tangga ketujuh liga selepas rekod tiga kemenangan tanpa bolos mereka sebelum ini turut berakhir.

"Benar, ia merupakan keputusan yang tidak bagus untuk kami," katanya selepas tamat perlawanan.

"Persembahan kami tidak cukup baik.

"Jika anda melihat kepada empat atau lima perlawanan terakhir mereka di laman sendiri, ia sentiasa menyukarkan pasukan pelawat.

"Kami berbincang dalam waktu rehat untuk beraksi lebih agresif, namun selepas dibolosi pada minit pertama, ia menjadi terlalu sukar.

"Kami berpeluang untuk mengubah keputusan perlawanan ketika Dominic Calvert-Lewin berdepan situasi satu lawan satu.

"Namun, kami tidak menjaringkan gol dan selepas itu ia menjadi semakin buruk buat kami.

"Mereka lebih agresif berbanding kami, lebih pantas den mencetuskan banyak masalah," katanya.