Gary Cahill percaya Chelsea perlu mengelak daripada dihimpit masalah kecederaan jika mahu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Eden Hazard dan Tiemoue Bakayoko bakal terlepas aksi pembukaan di laman sendiri berdepan Burnley pada Sabtu ini manakala Antonio Rudiger dan Alvaro Morata masih lagi belum mencapai tahap kecergasan terbaik.

Chelsea memiliki lebih daripada 20 pemain yang dipinjamkan keluar dan Nemanja Matic, Nathan Ake, Asmir Begovic dan Juan Cuadrado telah meninggalkan pasukan secara tetap, skuad Antonio Conte kelihatan semakin mengecil.

Dan Cahill menegaskan senarai pemain yang diturunkan dalam aksi Perisai Komuniti berdepan Arsenal menunjukkan kekurangan yang dimiliki Chelsea.

"Program yang telah disediakan agak menarik," kata Cahill.

"Daripada segi kualiti, kami memilikinya tetapi kami perlu mengelak daripada masalah kecederaan yang berterusan.

"Sememangnya, pemain-pemain baru yang hadir ke dalam skuad memiliki peranan yang penting. Tidak diragui, mereka mampu memberikan impak kepada pasukan.

"Tetapi beraksi dalam perlawanan yang lebih banyak seperti dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), pasukan kami akan diuji.

"Kami perlu sentiasa berada di tahap terbaik. Waktu rehat akan menjadi sangat penting kerana kami akan mengharungi perlawanan yang banyak."