Gary Cahill berpendapat kariernya bersama Chelsea mungkin sudah tamat selepas gagal meraih perhatian pengendali pasukan, Maurizio Sarri.

Pemain berusia 32 tahun itu kini mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab itu ketika jendela perpindahan dibuka pada Januari nanti bagi memenuhi keinginannya bermain bola sepak.

Cahill masih belum melakukan sebarang penampilan liga di bawah kendalian Sarri dan hanya memanaskan bangku simpanan ketika The Blues menundukkan PAOK 1-0 dalam saingan Liga Europa, awal pagi semalam.

Walaupun sering memakai lilitan ketua pasukan sejak 2012, pemain pertahanan itu mendapati sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaannya ketika ini bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

"Saya tidak mahu memburukkan keadaan tetapi pada waktu ini, mungkin benar saya perlu berhijrah pada Januari," kata Cahill.

"Apa sahaja yang berlaku pada masa akan datang, memikirkan hubungan saya bersama kelab dan penyokong, Chelsea sentiasa menjadi sebahagian besar daripada kehidupan bola sepak saya. Saya menerima penghormatan penuh daripada semua orang di sini.

"Saya sedar bahawa kadangkala anda harus membuat keputusan sukar dan bola sepak tidak menunggu sesiapa. Keputusan harus dibuat untuk terus bergerak maju.

"Pertama sekali, pasukan beraksi dengan baik. Itu paling penting. Memainkan peranan utama selama enam atau tujuh tahun, saya mendapati sukar buat saya tahun ini untuk menyesuaikan diri."

Cahill yang bakal menuju tempoh akhir kontrak pada penghujung musim ini mendedahkan kelewatan menyertai kem The Blues daripada skuad Piala Dunia England menjadi sebab utama dia gagal menjadi pilihan.

Bekas pemain Aston Villa dan Bolton Wanderers itu menegaskan dia tidak terasa hati apabila disisihkan dan tidak menemui Sarri untuk berbincang mengenai situasi tersebut.

"Tiada bantahan daripada pihak saya dan sebab itu saya tidak berjumpa dengannya.

"Apabila anda memenangi perlawanan, anda harus berdiam dan menerimanya. Bagi saya, untuk melalui situasi ini sepanjang musim pasti akan sukar.

"Setiap perkara akan menuju penamat dan akan ada cabaran baru yang menanti."