Gary Cahill memuji aksi Diego Costa yang bangkit menepis laporan kononnya wujud ketegangan di antara dirinya dengan pengendali, Antonio Conte, menerusi satu jaringan, semalam.

Chelsea melakar kemenangan 2-0 ke atas Hull City dengan Costa membuka tirai jaringan pada minit ke-45.

Minggu lalu, Conte mendakwa Costa tidak beraksi berdepan Leicester City kerana pemain itu dikatakan mengalami kecederaan.

Pada masa sama, turut timbul dakwaan hubungan Costa dan Conte terjejas berikutan wujud laporan pemain itu telah memilih untuk beraksi dalam Liga Super China.

Kini sudah pulih, Costa kembali lebih mantap dan ketika meledak gol, dan dia meraikannya dengan menyindir pihak media yang cuba memanaskan lagi hubungannya dengan Conte.

Cahill kemudian mengesahkan kemenangan pada Ahad menerusi tandukan, sekaligus melegakan barisan penyokong tuan rumah.

"Jelas dia (Costa) lega dapat kembali," kata Cahill kepada Sky Sports.

"Sudah tentu akan timbul pelbagai laporan apabila sesuatu berlaku.

"Dia terlepas satu perlawanan dan semua pihak mengeluarkan pelbagai dakwaan.

"Jadi, kami gembira dia kembali meledak gol sepertimana yang dia lakukan sepanjang musim ini.

"Ketika kami mendahului 1-0, Hull mula memberi tentangan. Saya bernasib baik kerana berjaya menemui hantaran Cesc Fabregas."