CHELSEA 1 CRYSTAL PALACE 2

Kapten Chelsea, Gary Cahill, menggesa rakan sepasukannya supaya bertenang apabila tewas mengejut 2-1 di tangan Crystal Palace, semalam.


Skuad kendalian Antonio Conte memulakan perlawanan dengan penuh bergaya selepas Cesc Fabregas meledak gol pembukaan pada minit kelima.

Bagaimanapun, Palace bangkit dengan menjaringkan dua gol menerusi percubaan Wilfried Zaha dan Christian Benteke untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Kekalahan mengejut ini menyaksikan Tottenham merapatkan kedudukan dengan perbezaan tujuh mata selepas mereka menewaskan Burnley 2-0 tetapi Cahill menegaskan supaya rakan sepasukannya tidak menekan butang panik menjelang pertemuan dengan Manchester City.

"Kami sangat kecewa kerana kehilangan tiga mata berharga," kata Cahill.

"Kami perlu memberikan fokus terhadap perlawanan pada Rabu. Kami masih memiliki kelebihan ke atas pesaing kami."