Gary Cahill berkata dia banyak belajar daripada John Terry, namun menegaskan dia sama sekali tidak mampu mengisi tempat ketua pasukan itu.

Pemain pertahanan England, Cahill, merupakan nadi di benteng Chelsea sejak berpindah ke Stamford Bridge dari Bolton Wanderers pada Januari 2012 dan sering berganding dengan legenda The Blues, Terry, di bahagian tengah pertahanan.

Namun, musim ini Terry telah mendapati dirinya tersisih dalam formasi 3-4-3 yang lebih digemari Antonio Conte dan memberikan Cahill memakai lilitan kapten.

Cahill bercakap mengenai mengisi peranan kapten dan telah banyak belajar tentang pendekatan Terry dalam permainan dan akan terus berbuat demikian sepanjang kehadirannya di Stamford Bridge.

"Saya tidak akan cuba mengisi peranan John Terry. Anda tidak boleh mengisi jawatan itu. Apabila saya mengambil alih tugas sebagai ketua pasukan musim ini, sama ada dia bersama pasukan atau tidak, ia adalah sesuatu yang istimewa untuk berbuat demikian," kata Cahill kepada Standard Sport.

"Pertama, saya telah belajar bagaimana dia mengurus dirinya sendiri, bagaimana dia beraksi dan bagaimana dia melakukan semua perkara.

"Yang kedua, saya tidak pernah terlintas bahawa saya akan menggantikannya.

"Dia berada di kelas atasan dan sesiapa yang menggantikannya tidak akan pernah dapat mencapai apa yang telah dilakukannya di kelab ini, Ia adalah salah satu situasi di mana anda perlu pisahkan.

"Cara saya bersedia, bermain, bercakap dengan pemain lain atau mengurus keadaan adalah dengan cara tersendiri.

"Tiada apa yang berubah dalam permainan saya hanya kerana saya memakai lilitan kapten.

"Selain daripada fakta saya kini berusia 31 tahun, saya telah banyak belajar daripada seseorang sepertinya. Saya akan terus belajar daripadanya selama dia berada di kelab ini.

"Saya ada gaya tersendiri. Saya boleh menjadi diri sendiri tetapi saya perlu belajar daripada yang terbaik."

Tambah Cahill, Terry membiarkan dia untuk bertindak sebagai kapten dengan cara sendiri.

"Kami mempunyai hubungan yang hebat, semua orang tahu. John memberi saya ruang," katanya.

"Saya tidak fikir dia melihat saya seperti pemain berusia 21 tahun. Dia tahu saya telah beraksi baik dalam perlawanan besar dan cukup berpengalaman untuk mengendalikannya.

"Pada masa yang sama, saya sentiasa cuba untuk mengamati apa yang orang lain lakukan dan menyesuaikannya dalam diri saya. Saya hanya menonton dan belajar daripada semua jenis orang dan jelas, dia adalah salah seorang daripada mereka."