N'Golo Kante berkata cabaran untuk memenangi takhta Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea buat musim 2016-17 berbeza berbanding ketika memenanginya bersama Leicester musim lalu.

Kante merupakan antara pemain yang berpengaruh ketika Leicester melakar kejayaan memenangi gelaran EPL musim 2015-16, persembahannya sebagai pemain tengah memainkan peranan penting ketika mengejutkan bola sepak dunia.

Tanpa sebarang keraguan, Chelsea yang menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-10, mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Perancis itu dan membantu The Blues untuk mengukuhkan kedudukan di takhta liga dengan kelebihan sembilan mata.

Dalam pada itu, ketiadaan Kante di dalam skuad Leicester menyaksikan prestasi mereka merudum dan kini bersaing untuk mengelak daripada penyingkiran.

Walaupun pengalaman memenangi gelaran musim lalu membantu Kante untuk menghadapi baki saingan musim ini, dia dapat berasakan cabaran yang berbeza.

"Ia merupakan sesuatu yang sangat berbeza," kata Kante. "Musim lalu, kami [Leicester] berada di tangga teratas liga tetapi kami tidak menjangkakan mampu berada di kedudukan tersebut.

"Kami hanya mau mengekalkan kedudukan kami selama mana yang mungkin. Kami tidak mengetahui jika kami mampu melakukannya kerana banyak pasukan yang sentiasa mengejar kami.

"Bersama Chelsea, cabaran agak berbeza. Ini merupakan kelab yang berstatus juara. Kami mahu memenangi segala-galanya dan mahu sentiasa berada di atas. Tiada apa yang istimewa, kami hanya cuba untuk memenangi setiap perlawanan."