Willy Caballero memberi amaran kepada rakan sepasukan di Manchester City agar tidak kehilangan mata berharga jika mahu kekal dalam landasan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

City telah diikat 1-1 oleh Everton, Southampton dan Middlesborough dalam tiga daripada empat perlawanan di Stadium Etihad -- menyebabkan mereka ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Skuad kendalian Pep Guardiola turut mengutip sekadar satu perlawanan tanpa bolos daripada 11 pertemuan dalam semua kejohanan, sekaligus membuktikan City mengalami masalah di jentera pertahanan.

Meskipun tidak akan beraksi di laman sendiri sehingga 3 Disember ini -- apabila mereka menerima kunjungan Chelsea -- Caballero mahu rakan sepasukannya kekal fokus dalam memastikan prestasi mereka terus berada di puncak jika mahu kekal selaku pencabar.

"Kami perlu menamatkan perlawanan tanpa bolos, terutama di laman sendiri, kerana saya tahu kami mampu melakukannya," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman sesawang City.

"Kami membuktikan mampu melakukannya ketika berdepan Barcelona, jadi berdepan Crystal Palace selepas ini kami perlu mengulangi momentum itu."

Caballero turut berasakan meskipun City mempamer dominasi dalam kesemua perlawanan, namun ia tidak membuahkan keputusan diharapkan di hujung permainan.

"Ini adalah perkara yang paling sukar untuk dicapai. Ketika di bawah kendalian Manuel Pellegrini, fokus kami adalah untuk menguasai hantaran bola. Kini di bawah kendalian Pep (Guardiola), kami mahu mendominasi perlawanan seawal minit pertama lagi.

"Walaupun kami mengawal perlawanan, namun perkara paling penting adalah untuk menjaringkan gol apabila peluang itu tiba."