Bukan tugas mudah untuk kejar Chelsea -- Pochettino

By Staff Writer 5 February 2017
Bukan tugas mudah untuk kejar Chelsea -- Pochettino

Mauricio Pochettino enggan menafikan peluang anak buahnya dalam mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea, sementara masih menanti Harry Redknapp untuk menunaikan janji membawanya keluar makan.

Tottenham, yang menduduki tangga kedua liga, mengatasi Middlesbrough 1-0 malam tadi hasil sepakan penalti Harry Kane.

Spurs kini kekal sembilan mata di belakang pendahulu, Chelsea, yang berjaya mengetepikan cabaran Arsenal dengan kemenangan mudah 3-1 di Stamford Bridge.

Ditanya sama ada dia percaya anak buahnya mampu mengejar Chelsea, Pochettino memberitahu BT Sport: "Fokus utama kami adalah untuk memenangi setiap perlawanan dan cuba merapatkan jurang dengan Chelsea.

"Kami bukan sahaja mahu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik tetapi juga mahu fokus dalam beraksi lebih baik dalam setiap perlawanan.

"Sembilan mata bukan mudah untuk dikejar tetapi pada saya, ia tidak mustahil. Apa sahaja boleh berlaku. Apa yang penting adalah cuba untuk memenangi setiap perlawanan."

Bekas pengendali Tottenham, Redknapp, mengucapkan tahniah di atas kemenangan ke atas Boro dan turut menawarkan untuk membawa Pochettino keluar makan malam.

Pochettino menjawab: "Saya ingat lagi kamu ada berjanji perkara sama musim lepas, saya masih menanti kamu menunaikan janji itu!"

 

About Author

Staff Writer

Comment