Bukan salah 'Gegenpressing' -- Klopp

By Dom Farrell 28 January 2017
 Bukan salah 'Gegenpressing' -- Klopp
Jurgen Klopp menegaskan corak permainan 'Gegenpressing' yang diamalkan bukan penyebab kepada prestasi hambar Liverpool sepanjang Januari ini. 

Anak buah Klopp bersiap untuk menghadapi Wolverhampton Wanderers dalam pusingan keempat Piala FA selepas tewas kepada Swansea City dalam saingan liga dan Southampton dalam Piala Liga Inggeris (EFL). 

Sejak merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Manchester City di ambang tahun baru, Liverpool hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan. 

Klopp mengakui kepenatan mungkin menjadi faktor tatkala dia menyalahkan jadual padat Liga Inggeris berbanding sesi latihan intensif dan corak permainan yang diamalkan mereka. 

"Perlawanan dengan Man City sangat mendebarkan. Secara keseluruhannya, kami membuat 121 kilometer larian dalam perlawanan itu," ujar bekas pengendali Borussia Dortmund itu. 

"Kami tidak merancang untuk membuat larian sebanyak 120km. 

"Jika intensiti perlawanan terdahulu adalah tinggi dan dua hari kemudian anda akan menentang Sunderland, ia adalah perlawanan yang berbeza sama sekali. Minda kami kepenatan. 

"Perlawanan seterusnya menentang Plymouth Argyle, kami terpaksa merombak pasukan.

"Kami juga melakukan rombakan besar ketika menentang Leeds United dalam Piala EFL dan mempamerkan permainan menarik kerana pemain dalam keadaan segar dan pemain perlu membuktikan keupayaan mereka.

"Tapi dalam perlawanan ini, mereka gagal mengulangi betapa bagusnya mereka.

"Laporan sesi latihan tidak berubah. Fizikal mereka menunjukkan bahawa mereka berada di tahap tinggi seperti sebelumnya, termasuk larian jauh. 

"Setiap perlawanan adalah berbeza dan ada masanya pemain tidak banyak melakukan pecutan."

Klopp percaya kegagalan pemain dalam membuat keputusan menjurus kepada kehampaan Liverpool kebelakangan ini.

"Ia bukan masalah kecederaan. Kami gagal bermain baik tapi patut memenangi perlawanan.

"Kami boleh mengalahkan United dan Swansea. Ia sesuatu yang di luar kawalan. Bola sepak adalah mengenai membuat keputusan. 

"Anda perlu membuat keputusan tepat pada waktu yang sesuai. Jelas sekali kami jarang melakukannya. Kami tidak mahu mencipta alasan. Kami 100 peratus yakin ia tanggungjawab kami."

Liverpool perlu segera mengembalikan rentak garang mereka menjelang pertemuan dengan pendahulu liga, Chelsea, pada pertengahan minggu depan untuk tidak terus tercicir dalam pemburuan mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL).  



About Author

Dom Farrell

Comment