Arsene Wenger percaya budaya minum minuman keras oleh pemain di England bakal berakhir dengan isu yang dihadapi Wayne Rooney ketika ini.

Kapten England dan Manchester United, Rooney, memohon maaf susulan akhbar The Sun mengeluarkan foto yang memaparkan pemain itu dalam keadaan mabuk ketika menghadiri parti majlis perkahwinan yang berlangsung di hotel penginapan England.

Akhabr itu turut mendakwa pada Khamis bahawa kedudukannya selaku kapten skuad negaranya turut dipersoalkan.

Ketika Wenger mengambil alih Arsenal pada tahun 1996, dia telah mengharamkan penjualan arak di bar kelab tersebut di samping memperkenalkan diet baharu buat semua pemain.

Pengendali kelahiran Perancis itu, bagaimanapun, berasakan masalah tersebut tidak lagi dihadapi mana-mana pasukan di England.

"Saya tidak mahu terlibat dengan kes Wayne Rooney kerana saya tidak tahu secara terperinci apa yang berlaku," katanya kepada media.

"Namun, saya tidak berasakan ia masalah utama ketika ini berbanding dahulu.

"Pemain sudah sedar apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan.

"Bagaimanapun, sebagai pengurus, kamu perlu sedar bahawa kamu tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pergerakan pemain. Mereka sendiri perlu sedar.

"Pemain hanya perlu mengikuti arahan jurulatih tetapi saya percaya pada usia muda, adalah perkara biasa untuk masalah ini berlaku.

"Pemain yang terlibat perlu menganalisis perkara itu jika mereka mampu memiliki karier yang cerah.

"Pemain yang bernama besar juga tidak terkecuali tetapi selepas itu mereka akan menilai semula apa yang berlaku."

Arsenal akan berdepan United di Old Trafford esok, dengan Rooney dijangka tidak akan beraksi susulan mengalami kecederaan lutut dalam aksi persahabatan berdepan Sepanyol, Selasa lalu.