Penjaga gol Manchester City, Claudio Bravo, mahukan rakan senegaranya, Alexis Sanchez, meninggalkan Arsenal dan menyertainya di Stadium Etihad.

Skuad The Citizens tampak semakin hampir untuk mendapatkan khidmat Sanchez, terutama selepas penyerang berusia 28 tahun itu jelas tidak gembira dengan kegagalan The Gunners menyinar sama ada di peringkat domestik mahupun Eropah.

Sanchez menjelaskan masa depannya 'telah terjawab' pada awal minggu ini tetapi ia tidak memberikan jawapan sama ada dia akan kekal di Emirates atau berpindah.

Bagi Bravo, Sanchez adalah pemain yang hebat dan skuad kendalian Pep Guardiola adalah tempat terbaik untuk rakan senegaranya itu.

“Saya sudah jelaskan beberapa kali, Sanchez adalah salah satu pemain terbaik dunia.

“Dia sentiasa mempamerkan aksi terbaik, tidak kira di peringkat kelab ataupun negara,” ujar Bravo.

“Sesuatu yang hebat apabila melihatnya beraksi dan saya sentiasa mahukannya sebagai rakan sepasukan,” tambahnya.

Sanchez dan Bravo akan beraksi untuk pasukan Chile dalam aksi final Piala Konfederasi 2017 menentang Jerman, esok.