Pengendali Swansea, Bob Bradley, mahu pemain-pemainnya mendekatkan diri dengan barisan penyokong menjelang aksi pertamanya selaku jurulatih di Liberty Stadium pada Sabtu.

Bekas ketua jurulatih Amerika Syarikat itu bertemu dengan wakil penyokong setia The Swans dan mendakwa dirinya tersentuh dengan sokongan yang diberikan terhadapnya.

Namun, dia percaya bahawa barisan pemain turut perlu menjalinkan hubungan baik dengan penyokong bermula pada Sabtu apabila menerima kunjungan Watford.

"Mereka berjumpa saya dan memberitahu 'Kamu ada tugas yang besar tetapi kami menerima kamu dengan hati yang terbuka'," katanya.

"Dengan segala perkara yang berlaku dalam kehidpun seorang pemain bola sepak, kadang-kala kamu perlu diingatkan makna sebenar di sebalik sebuah pasukan.

"Penyokong mahu melihat sesuatu yang mereka boleh banggakan dan pada masa yang sama, kamu perlu mendapatkan keputusan yang diinginkan."

Perlawanan pertama Bradley berkesudahan tewas 3-2 kepada Arsenal di Emirates. Ini bermakna Swansea masih belum melakar kemenangan sejak kali terakhir melakukannya ketika menewaskan Burnley 1-0 dalam perlawanan pembukaan liga.

Aksi hambar di bawah kendalian Fracisco Guidolin sebelum ini meletakkan mereka menduduki tangga ke-19 liga, namun Bradley yakin Swansea mampu kekal musim ini.

"Jika kamu melihat bagaimana pasukan ini bermain dalam tempoh beberapa tahun ini, kamu akan nampak sebuah pasukan yang akan menghuni pertengahan liga.

"Kami hanya perlu mendapatkan kembali keyakinan."