Bob Bradley berang dipecat oleh Swansea City selepas hanya 11 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris.

Kelab berpangkalan di Wales itu membuat pengumuman tersebut pada Selasa selepas melihat Bradley gagal melakukan sebarang perubahan tatkala The Swans menghuni kedudukan ke-19 liga.

Bagaimanapun, Bradley, yang dibawa masuk menggantikan Francesco Guidolin, Oktober lalu, bertegas bahawa kelab itu telah melakukan keputusan yang tergesa-gesa.

"Saya sangat sakit hati pagi tadi," Bradley memberitahu talkSPORT. "Pada saya, mereka membuat keputusan yang salah.

"Saya percaya dengan kemampuan saya dan saya juga sedar bahawa saya telah meletakkan diri saya dalam situasi yang sukar.

"Ketika pelantikan saya, kami telah melakukan perbincangan, termasuk membawa masuk muka baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka.

"Saya kecewa kerana selama ini saya sentiasa meninggalkan impak berkesan, terutama daripada aspek mentaliti pemain.

"Pada saya, lembaga pengarah pasukan perlu sedar bahawa pemain mempamerkan kesungguhan dan meskipun keputusan perlawanan tidak memihak kepada kami, mengubah pasukan yang menghuni kelompok bawahan liga adalah perkara yang paling sukar untuk ditempuh oleh seorang pengurus.

"Saya tahu ketika saya dilantik, saya perlu membuktikan kemampuan saya, jadi saya amat kecewa kerana saya tidak diberi peluang untuk melakukannya.

"Saya tidak pernah memberi alasan sepanjang saya berada di sini -- saya sering kali memikul tanggungjawab kerana saya percaya itulah cara terbaik untuk memimpin kelab ini.

"Saya berharap pada masa akan datang, saya akan di beri peluang untuk membuktikan kemampuan saya."

Namun, Bradley tetap mengucapkan selamat berjaya kepada Swansea: "Saya harap mereka kekal dalam Liga Perdana Inggeris, namun saya melihat perlunya membawa masuk muka baru Januari ini -- itu yang saya perkatakan dari hari pertama pelantikan saya."