MANCHESTER UNITED 1 BOURNEMOUTH 1

Manchester United terpaksa akur terikat 1-1 dengan Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, sebentar tadi.


United menghadapi perlawanan di tempat sendiri dengan misi meraih tiga mata penuh untuk melonjak ke tangga keempat liga, sekaligus mencerahkan peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL), musim hadapan.

Skuad kendalian Jose Mourinho memulakan permainan dengan langkah kanan apabila pertahanan, Marcos Rojo, membuka tirai jaringan pada minit ke-23 selepas menampan masuk hantaran silang Antonio Valencia.

Bournemouth berjaya mengikat jaringan pada minit ke-40 selepas Phil Jones melakukan kekasaran ke atas Marc Pugh. Joshua King bertanggungjawab mengambil sepakan penalti menewaskan penjaga gol United, David De Gea.

United pula dihadiahkan sepakan penalti dalam babak kedua selepas bola terkena tangan Adam Smith. Malangnya, penjaring terbanyak United musim 2016-17, Zlatan Ibrahimovic, gagal menyempurnakannya selepas penjaga gol, Artur Boruc, dapat mengagak haluan sepakan penyerang itu.

Anak buah Eddie Howe seterusnya menyerap setiap serangan United sehingga penghujung perlawanan untuk membawa pulang satu mata.