Fabio Borini tidak merancang untuk meninggalkan Sunderland ketika jendela perpindahan Januari meskipun menjadi sasaran AC Milan dan AS Roma, tegas ejen pemain itu.

Bekas penyerang Liverpool itu telah dikaitkan dengan dua kelab gergasi Serie A minggu ini selepas memberi impak positif ketika dipinjamkan kepada Roma pada musim 2011-12.

Sunderland ketika ini memerlukan suntikan kewangan, namun Borini tidak berminat untuk menjadi mangsa keadaan.

Bagaimanapun, ejen Borini mendedahkan bahawa pemain itu akan menilai semula situasinya hujung musim ini.

"Adalah perkara biasa buat pemain berusia 25 tahun dengan pengalaman di pentas antarabangsa untuk menjadi sasaran kelab lain, terutama dari Itali," Roberto De Fanti memberitahu Pagine Romaniste.

"Fabio sangat gembira ketika di Roma tetapi ketika ini fokusnya adalah terhadap Sunderland.

"Tiada kebarangkalian dia akan berhijrah pada bulan Januari ini dan tiada sebarang perbincangan dilakukan.

"Jun tahun hadapan, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku."

Borini, yang mempunyai baki kontrak bersama The Black Cats sehingga 2019, meledak gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris dalam aksi berdepan Manchester United, Isnin lalu.