Pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci, mendakwa dia pernah berada di persimpangan sebelum memutuskan untuk menolak lamaran Barcelona dan Manchester City, sambil menghamburkan pujian terhadap Pep Guardiola yang dianggapnya jurulatih terbaik di dunia.

Guardiola, yang mengambi alih jawatan pengurus di City, Julai lalu, melahirkan kekagumannya terhadap Bonucci ketika Bayern Munich berdepan dengan Juve dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif City, Ferran Soriano, mendedahkan Bonucci pernah menghubungi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk mengadakan rundingan awal sekalipun Juventus tidak berniat untuk melepaskannya.

Bonucci akhirnya memilih untuk menandatangani kontrak baru bagi mengekalkannya di Turin sehingga 2021, dan dia teruja untuk terus menambah koleksi trofi Juventus di peringkat Eropah.

Dalam masa yang sama, dia mendedahkan kepada Corriere dello Sport bahawa dia turut menolak tawaran dari Barcelona.

"Untuk mengatakan tidak kepada Barcelona dan Manchester City bukannya mudah," katanya.

"Bagaimana untuk berbuat demikian sedangkan yang mahukan khidmat anda adalah jurulatih terbaik di dunia.

"Saya membuat keputusan setelah mengambil kira segala aspek. Saya tidak mengambil mudah keputusan ini kerana minat yang ditunjukkan Guardiola yang dianggap terbaik.

"Tapi saya gembira di Juventus dan mahu menang di Itali dan mula melakukannya di Eropah.

"Dalam Serie A, semuanya tidak terjamin. Di Eropah, kami perlu bersikap tegas dan dengan prestasi ini serta dengan kehadiran Massimiliano Allegri, saya yakin kami mampu memberi cabaran."

Dalam perkembangan berkaitan, Bonucci turut mendedahkan penyerang meningkat naik, Paulo Dybala, sudah memohon maaf kepada seluruh pasukan kerana sedar telah menunjukkan sikap tidak menghormati Allegri.

Dybala enggan bersalaman dengan Allegri selepas dikeluarkan dalam kemenangan 2-0 ke atas Sassuolo.