Selepas menawan dunia dalam acara pecut 100, 200 dan 4 x 100 meter, secara dasarnya Usain Bolt berhasrat untuk menyamai karier Wayne Rooney dan menganggap ia cabaran seterusnya.

Jaguh pecut dunia sejak dekad lalu itu sekali lagi membuktikan dia sukar digugat dalam Sukan Olimpik dengan meraih tiga pingat emas di temasya Rio 2016.

Pelari Jamaica itu memutuskan untuk menggantung 'spike' dalam acara olahraga tahun ini demi memburu impiannya bergelar pemain bola sepak profesional, dengan menjadikan Manchester United -- kelab yang diminatinya -- sebagai destinasi impiannya.

Kesempatan menghabiskan masa selama seminggu berlatih bersama gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund, akan memberi gambaran awal kepada Bolt terhadap kerjaya dalam bola sepak dan manusia terpantas di dunia itu berharap ia akan membuka laluan buatnya.

"Banyak benda yang saya mahu lakukan, saya tidak pasti di mana saya akan bermula. Apa yang pasti, saya mahu bertenang," kata atlet berusia 30 tahun itu kepada Laureus.

"Saya sentiasa mahu mencuba beraksi dalam kancah bola sepak dan peluang sudah pun terhidang, kita tunggu dan lihat.

"Saya berkesempatan untuk berlatih bersama Dortmund. Saya akan berlatih selama seminggu di sana.

"Beberapa orang telah menyarankan beberapa kelab agar saya dapat beraksi. Jadi, kami sedang mempertimbangkannnya dan kami belum pasti apa yang akan berlaku.

"Di tahap mana-mana pun, saya hanya mahu membuktikan keupayaan diri kerana selama ini saya memang suka bermain bola sepak dengan rakan-rakan.

"Saya berada di tahap yang baik dan sekiranya saya berlatih dan bekerja keras, saya berasakan saya mampu beraksi dengan baik.

"Saya tidak katakan saya akan menjadi pemain terbaik di dunia, tapi saya akan berada dalam kalangan seperti Wayne Ronney, macam itulah maksud saya."