Ketua jurulatih Chelsea, Antonio Conte, menyifatkan bola sepak adalah hidupnya tatkala dia mahu memiliki karier yang panjang sepertimana dilakukan Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger.

Karier Conte bermula pada tahun 2006 bersama Arezzo, namun bekas pengendali Juventus itu menyasarkan untuk terus menjadi jurulatih buat beberapa tahun lagi.

Conte, 47 tahun, mahu mengikut jejak Ferguson dan Wenger yang memiliki karier sepanjang 20 tahun -- dengan Wenger masih lagi mengendalikan Arsenal ketika ini.

"Kamu bercakap tentang dua pengurus terbaik dunia," ujar Conte.

"Mereka merupakan contoh terbaik buat saya. Saya berharap untuk memiliki karier yang panjang seperti mereka, atau 10 tahun pun sudah memadai.

"20 lebih tahun? Ketika ini saya sudah berusia 47 tahun, saya berharap isteri saya tidak tahu perkara ini.

"Ini adalah hidup kami. Bola sepak adalah hidup saya. Apabila bola sepak bukan lagi menjadi hidup saya, mungkin saya akan mati."

Kenyataan Conte itu hadir selepas pengendali Manchester City, Pep Guardiola, memberi bayangan mahu bersara sebelum menjelaskan hal sebenar kenyataannya itu.

Conte berasakan kepenatan mungkin jadi faktor disebalik kenyataan Guardiola itu.

"Saya sangat menghormati Pep dan apabila kamu memiliki kaedah dan falsafah bola sepak dan cuba menerapkan dua perkara ini terhadap pasukan, ia amat meletihkan," jelasnya.

"Saya pasti Pep mahu meneruskan kerjayanya."