LIVERPOOL 4 WEST HAM 0

Dua gol sumbangan Sadio Mane serta satu daripada Mohamed Salah membantu Liverpool meraikan kemenangan 4-0 ketika menentang West Ham dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.


Skuad kendalian Jurgen Klopp itu tidak berdepan masalah untuk menjinakkan Hammers di Anfield untuk mengekori Chelsea di puncak selepas mengalahkan Huddersfield Town 3-0 semalam.

Liverpool menurunkan pemain yang baru ditandatangani, Alisson dan Naby Keita, yang menghasilkan prestasi hebat di bahagian tengah sementara Xherdan Shaqiri membuat penampilan lewat dari bangku simpanan.

Begitupun, Mane dan Salah memainkan watak wira buat The Reds mengesahkan tiga mata tersebut. Salah menolak mudah bola ke gawang selepas mendapat hantaran cantik Andy Robertson pada minit ke-19 sebelum Mane meledak gol dua kali dari dalam petak penalti pada setiap babak. Pemain gantian, Daniel Sturridge, kemudian meledak gol keempat pada lewat permainan.

Jaringan kedua Mane sepatutnya dibatalkan akibat ofsaid tetapi itulah satu-satunya keluhan West Ham mengenai keputusan akhir tersebut dengan skuad bimbingan Manuel Pellegrini itu perlu mencari jalan penyelesaian susulan berbelanja mewah musim ini.

Liverpool, bagaimanapun, selesa tanpa perlu mengerah kudrat dan dilihat sebagai pencabar utama gelaran.

Keputusan lain:

SOUTHAMPTON 0 BURNLEY 0