Slaven Bilic merupakan peminat penjaga gol England, Joe Hart, namun tidak ada sebarang perancangan untuk mendapatkan pemain itu hujung musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu ketika ini beraksi dalam Serie A bersama Torino selepas dipinjamkan oleh Manchester City.

West Ham -- termasuk Chelsea dan Liverpool -- telah dikatikan dengan Hart.

Meskipun memandang tinggi pemain itu, Bilic mendakwa dia gembira dengan dua penjaga gol sedia ada, Adrian dan Darren Randolph.

"Kami sering kali dikaitkan dengan setiap pemain yang mahu berhijrah," ujar Bilic menjelang aksi berdepan Southampton pada Sabtu.

"Saya memandang tinggi Joe Hart selaku penjaga gol yang hebat.

"Tetapi saya tidak bercadang untuk membawa masuk penjaga gol baharu kerana saya memiliki dua penjaga gol yang bagus."

Pada masa sama, Bilic tidak gusar dengan khabar angin mengatakan Roberto Mancini bakal mengambil tempatnya selepas jurulatih Itali itu dilihat hadir ke stadium ketika The Hammers dibelasah 4-0 oleh Manchester City pada Rabu.

"Saya tidak terkejut," katanya. "Khabar angin ini terjadi tahun lalu, dan sekali lagi tahun ini, ia sering berlaku kepada mana-mana pasukan.

"Saya tidak bimbang. Saya hanya cuba melakukan tugas dengan baik."