Pengurus West Ham, Slaven Bilic, mendakwa Tottenham Hotspur mungkin tidak perlu menghambat Chelsea di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) seandainya Harry Kane tidak tercedera.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu memenangi rentetan sembilan perlawanan liga utama terakhir mereka, bagaimanapun mereka kekal empat mata di belakang pendahulu liga itu ketika aksi berbaki empat perlawanan.

Kane, yang menjaringkan gol kedua dalam kemenangan 'derby' 2-0 ke atas Arsenal hujung minggu lalu, telah mencetak 21 gol dalam 26 perlawanan liga musim ini walaupun tidak tampil dalam dua tempoh berasingan akibat kecederaan buku lali.

Akibat kehilangan penggempur itu, Spurs seri tiga perlawanan berturut-turut pada Oktober lalu dan Bilic percaya tempoh itu adalah faktor utama di sebalik kelebihan Chelsea di puncak liga.

"Saya memuji mereka (Tottenham). Apabila saya menonton perlawanan mereka, saya tertanya-tanya bagaimana Chelsea boleh mempunyai jurang mata itu tetapi mereka mempunyai dua tempoh tanpa Harry Kane," kata Bilic, yang akan berdepan Spurs, awal pagi esok.

"Spurs adalah dalam prestasi terbaik dan mengekalkannya sejak dua bulan lalu. Kami positif dengan prestasi empat perlawanan tanpa kalah dan tiga daripadanya tanpa dibolosi.

"Ya, mereka menggerunkan dengan keyakinan, rentak, hantaran dan mengubah permainan dan segala-galanya tetapi prestasi kami juga bertambah baik.

"Spurs adalah sangat serba boleh. Kadang-kadang, anda tahu di mana bola itu akan menuju, namun anda tidak dapat menyekatnya disebabkan kualiti yang ada."

Kedudukan West Ham belum selamat secara matematik dan kekalahan di Stadium London akan membuatkan mereka cemas berdepan zon penyingkiran memandangkan dua perlawanan terakhir mereka adalah menentang Liverpool dan Burnley.

Jawatan Bilic di kelab itu turut mendapat perhatian. Bagaimanapun bekas bos Besiktas itu menegaskan dia tidak akan membincangkan masa depannya atau pasaran perpindahan secara terbuka sehingga akhir musim ini.

"Ia bukan masa untuk bercakap mengenai situasi saya. Ia adalah masa untuk bercakap tentang kelab. Saya sangat tenang dan fokus kepada permainan," katanya.

"Ia bukan masa untuk bercakap mengenai perpindahan. Saya mengadakan perbincangan mengenai sasaran dengan kakitangan dan ahli lembaga pengarah tetapi bukan di khalayak ramai."