"Kami sedang berdepan masalah dengan seorang pemain, pemain itu adalah Dimitri Payet. Dia mahu keluar," demikian pendedahan dibuat pengendali West Ham United, Slaven Bilic.

Bilic menjelaskan bahawa pemain antarabangsa Perancis itu mahu meninggalkan Stadium London, namun menegaskan West Ham tidak akan membenarkan bintang utama mereka itu berpindah.

"Pasukan ini, pihak pengurusan telah memberikan segalanya kepada Payet. Saya kecewa dan berasa sangat marah.

"Kami sebelum ini telah mengatakan bahawa tidak akan menjual pemain terbaik kami tetapi Payet enggan bermain bersama kami lagi.

"Kami tidak akan menjualnya. Saya bercakap kepada pengerusi kelab ini bahawa ini bukan soal duit. Kami memberikan kontrak yang panjang kepadanya kerana kami mahu dia kekal.

"Fokus saya masih terarah kepada perlawanan pada Sabtu berdepan Crystal Palace. Saya enggan berbincang soal perpindahan kerana kami masih ada tempoh dua minggu lagi."

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai West Ham pada tahun 2015 dan telah dicalonkan selaku Pemain Terbaik PFA 2016 selepas mempamerkan aksi mantap musim lalu.

Perancang tengah The Hammers itu telah menandantangani pembaharuan kontrak pada Februari tahun lalu yang akan berakhir pada 2021.