Sam Allardyce mampu mempertingkatkan kualiti skuad Crystal Palace dan mahu memastikan Wilfried Zaha kekal bersama pasukan sehingga tamat musim ini.

Bekas pengendali England, Allardyce, menyaksikan pasukannya seri 1-1 di Watford dalam perlawanan pertamanya selepas menggantikan Alan Pardew di Selhurst Park.

The Eagles sekadar mencipta satu kemenangan sejak September dan berdepan tugas sukar bertemu Arsenal di Stadium Emirates, dan selepas itu Allardyce mahu mendapatkan pemain-pemain baru bagi mengharungi baki musim ini.

"Jika setiap pemain berada di tahap terbaik, kami mampu beraksi dengan lebih baik. Kami mahu mendapatkan beberapa pemain baru.

"Ia merupakan senario yang sukar kerana kami perlu melakukan pemilihan di dalam skuad tetapi kami akan mencuba untuk melakukan yang terbaik.

Pemain sayap, Zaha, merupakan antara pemain yang menyerlah di sebalik kegagalan Crystal Palace musim ini.

Mereka bakal ketiadaan khidmat bekas pemain Manchester United itu bulan depan selepas memilih untuk beraksi bersama Ivory Coast dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), tetapi Allardyce menegaskan dia akan kembali sebagai pemain Palace walaupun Tottenham berminat mendapatkan khidmat pemain itu.

"Kami tidak akan kehilangan khidmat Zaha secara tetap," kata Allardyce.

Kegagalan Christian Benteke menyempurnakan sepakan penalti di Vicarage Road membuktikan Allardyce perlu menilai semula pilihan untuk mengambil alih tugas tersebut sebelum berdepan Arsenal.

"Saya masih belum berbincang dengan Benteke mengenai tekniknya.

"Kami akan menilai semula sebelum memilih pemain yang sesuai mengambil sepakan penalti dan saya yakin Benteke akan berusaha untuk memastikan dia pilihan utama buat pasukan."