Penolong jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola, menegaskan Maurizio Sarri memerlukan masa untuk melakukan perubahan bersama Chelsea sambil membandingkan situasi beliau sama seperti Pep Guardiola ketika tiba di Manchester City.

Skuad bimbingan Sarri itu jatuh ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan pengendali Itali itu di bawah tekanan bersama The Blues.

Bercakap menjelang aksi pusingan kelima Piala FA berdepan Manchester United, Zola menjelaskan persoalan yang sama diberikan kepada Guardiola, yang gagal meraih sebarang gelaran dalam musim pertamanya bersama City.

"Bagaimana anda tahu kami tidak melakukan apa-apa perubahan?" soal Zola.

"Kami sedang menguji beberapa aspek tanpa menggugat sasaran yang telah ditetapkan.

"Dua tahun lalu, anda mungkin bertanyakan perkara yang sama kepada Guardiola. Saya masih ingat anda ada bertanyakan, 'Jadi anda mahu kekalkan corak permainan anda?'

"Guardiola pun menjawab, 'Ini bukan satu perbincangan, ia adalah sebahagian daripada permainan saya, saya mengetahui saya berada di kedudukan yang sukar tetapi saya tidak mahu mengubahnya'."

Chelsea bangkit daripada kekalahan 6-0 kepada City dengan mengatasi Malmo 2-1 dalam aksi pertama pusingan 32 Liga Europa.

Olivier Giroud, yang berjaya meledak jaringan di Sweden, berkata skuad Chelsea masih lagi memiliki pendirian yang sama.

"Saya berasakan kritikan sedang diberikan kepada jurulatih tetapi saya tidak dapat melihat mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan jurulatih ini. Kami masih lagi bertindak sebagai satu unit, staf dan pasukan," kata Giroud.

"Kami mahu melihat ke hadapan dan kekal positif."