SUNDERLAND 2 CRYSTAL PALACE 3

Christian Benteke berkata dia menyedari peluangnya akan tiba selepas menjaringkan gol kemenangan Crystal Palace ke atas Sunderland.


Penyerang Belgium itu gagal menemui sasaran pada babak pertama peralwanan yang menyaksikan Sunderland mendahului dengan dua gol hasil jaringan Jermain Defoe.

Bagaimanapun, Palace bangkit menerusi Joe Ledley dan James McArthur sebelum Benteke merakamkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan yang berkesudahan 3-2.

"Ia merupakan kemenangan yang berharga, kami menyedari cabaran sukar menanti untuk beraksi di sini, tetapi kami telah mempamerkan kualiti sebenar pada babak kedua perlawanan," ujar Benteke.

"Sebagai penyerang, anda perlu lebih tenang dan menanti peluang untuk tiba.

"Kami mahu memenangi perlawanan ini, kami berada di tahap yang terbaik dan berharap untuk meneruskan momentum ini."

Selepas ketinggalan dua gol, pengendali The Eagles, Alan Pardew, gembira menyaksikan anak buahnya bertindak untuk bangkit memenangi perlawanan.

"Dalam separuh masa kedua, kami telah bermain dengan baik, Joe Ledley memadam kesilapan yang dilakukannya pada babak pertama dengan jaringan yang berkualiti," kata Pardew.

"Benteke merupakan ancaman di setiap masa, dia memiliki beberapa peluang. Dia telah menyempurnakan jaringan daripada hantaran kemas Lee Chung-Yong."