Pengurus Newcastle United, Rafael Benitez, memuji persembahan anak buahnya selepas gol tunggal Mikel Merino membolehkan The Magpies menundukkan Crystal Palace 1-0 di St James' Park.

Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-71 untuk mendapatkan percubaan pertama menerusi Mohamed Diame, namun tandukan Merino ketika aksi berbaki empat minit membolehkan Newcastle menamatkan penantian tiga perlawanan tanpa kemenangan.

Situasi itu membuatkan Benitez berpuas hati dengan prestasi pasukannya walaupun mengakui Crystal Palace beraksi dengan penuh berdisiplin.

"Kini amat penting untuk mendapatkan tiga mata penting dalam perlawanan yang sukar.

"Pasukan lawan memiliki keyakinan dan bekerja keras. Kami sedar kami perlu menang dalam perlawanan ini walaupun ia sangat sukar.

"Apa yang penting adalah kami terus berusaha dan memenangi perlawanan," kata Benitez.

Sementara itu, pengendali Palace, Roy Hodgson, menyifatkan pasukannya mampu membawa pulang satu mata seandainya Patrick van Aanholt berjaya menyempurnakan peluang keemasan hasil hantaran Ruben Loftus-Cheek.

Kekalahan itu meletakkan Palace kini berada di tangga terbawah dengan hanya tiga mata tetapi Hodgson tetap memuji usaha dan kualiti yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan.

"Terdapat beberapa aksi yang membuktikan persembahan kami baik.

"Kami memerlukan lebih daripada satu gol untuk membawa pulang satu mata dan ia menjadi masalah.

"Saya tidak boleh mengkritik persembahan pemain-pemain. Sejak awal permainan, semua pemain menterjemahkan perancangan yang saya berikan," ujar Hodgson.