Pengurus Newcastle United, Rafael Benitez, menyifatkan dirinya lebih gembira untuk mendapatkan kemenangan menentang skuad yang bersaing di zon penyingkiran berbanding menundukkan pasukan seperti Manchester United.

Gol tunggal Matt Ritchie pada minit ke-56 di St James Park membolehkan Newcastle menundukkan
United untuk keluar daripada zon penyingkiran dengan kelebihan dua mata.

Bagaimanapun, Benitez menamakan aksi menentang Brighton and Hove Albion pada 30 Disember lalu yang berakhir 0-0 serta Swansea City pada 13 Januari (1-1) adalah aksi yang dia mahu berkesudahan dengan tiga mata.

"Saya lebih gembira dengan mata yang diraih berbanding memikirkan pasukan yang ditewaskan.

"Ada sesetengah perlawanan yang kami dapat tampil dengan baik dan mencipta banyak peluang tetapi
tidak dapat mengutip tiga mata.

"Jika anda bertanya sama ada tiga mata ke atas United atau kemenangan ke atas pasukan lain, saya
mahu memilih pilihan kedua kerana ia melibatkan enam mata tetapi disebabkan kami gagal
melakukannya, saya gembira dengan keputusan hari ini," kata Benitez.

Benitez juga memuji ketangkasan penjaga gol, Martin Dubravka, yang melakukan penampilan pertama
sejak dipinjam dari Sparta Prague.

"Dia memastikan gawang tidak bocor dalam penampilan pertama dan ia menentang Manchester
United.

"Saya gembira melihat persaingan di posisi penjaga gol pada waktu ini kerana ia perkembangan positif
buat pasukan."