Rafael Benitez berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Arsenal, Lucas Perez, untuk mempertingkat mutu jentera serangan Newcastle United yang kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Benitez kecewa dengan usaha Newcastle dalam jendela perpindahan kali ini, dengan hanya lima muka baru dibawa masuk ke St James' Park walaupun pemilik kelab, Mike Ashley, berjanji untuk mendapatkan lebih banyak pemain.

Perez kini kehilangan tempat di Arsenal selepas mereka menandatangani Alexandre Lacazette dengan perpindahan yang bernilai EURO60 juta (RM303 juta) dan Arsene Wenger mencadangkan penyerang itu dibenarkan meninggalkan kelab.

Benitez, yang bimbang dengan kecederaan yang dialami oleh Dwight Gayle menjelang aksi pembukaan di laman sendiri bertemu Tottenham pada Ahad, meletakkan sasaran untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang Deportivo La Coruna, Perez, sebagai pemain tambahan untuk mengetuai jentera serangan The Magpies.

"Saya menggemari gaya permainannya dan saya memiliki beberapa rakan di A Coruna," kata Benitez.

"Perez ke England tetapi kekurangan masa untuk beraksi tetapi saya meminatinya.

"Kami menyedari apa yang harus dilakukan dan masih lagi cuba melakukannya sehingga jendela perpindahan ditutup."