LEICESTER CITY 1 WEST HAM 0

Claudio Ranieri melabel kemenangan 1-0 Leicester City ke West Ham sebagai 'detik terbaik' buat 2016 walaupun membantu The Foxes menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Leicester menyangkal segala jangkaan musim lalu untuk menyempurnakan kejayaan menjulang gelaran pada musim 2015-16, namun mereka sekadar mencatat satu kemenangan dalam sembilan perlawanan dan tiga mata di atas zon penyingkiran sebelum berdepan The Hammers di Stadium King Power, semalam.

Bagaimanapun, tandukan Islam Slimani pada minit ke-20 dan permainan mantap jentera pertahanan Leicester menyaksikan mereka meraih tiga mata berharga.

Ranieri berharap mereka akan terus keluar daripada zon penyingkiran dalam perlawanan akan datang.

"Ia adalah detik terbaik kami pada 2016 -- kami mahu memastikan terselamat pada 2017. Kami akan cuba untuk menyediakan pasukan yang lebih baik untuk masa akan datang.

"Kami telah bermain dengan baik pada 30 minit pertama. Kami menutup setiap ruang dan melancarkan serangan balas ke atas pasukan lawan."

Dalam pada itu, pengendali The Hammers, Slaven Bilic, berasakan pasukannya gagal memulakan permainan dengan mentaliti yang tepat tetapi berkata West Ham hampir meraih satu mata di penghujung perlawanan.

"Ia merupakan kekalahan yang sangat mengecewakan," katanya.

"Mereka memulakan perlawanan dengan baik dan berhak menjaringkan gol. Kami gagal mencari sentuhan penyudah."