Penyerang baru Everton, Cenk Tosun, telah diberikan amaran tentang taktikal pengurus pasukan, Sam Allardyce, oleh pemain tengah berpengalaman Turki, Emre Belozoglu.

Tosun menyertai Everton dari Besiktas melalui yuran perpindahan berjumlah GBP25 juta (RM136 juta) awal bulan ini selepas mengharungi separuh musim yang hebat bersama Besiktas.

Dia dijangka memperkuatkan jentera serangan The Toffees tetapi Belozoglu telah memberikan peringatan buatnya tentang pengurus pasukan barunya itu berdasarkan pengalaman pemain berusia 37 tahun itu beraksi di bawah kendalian Allardyce pada musim 2007/08 bersama Newcastle United.

"Saya amat gembira dengan Tosun. Bagi saya, zaman sekarang lebih mudah buat pemain Turki untuk bermain di serata dunia berbanding sebelum ini. Dia seorang pemain profesional dan sentiasa mahu meningkatkan kualiti yang ada pada dirinya.

"Bola sepak di England adalah tentang kekuatan fizikal tetapi Tosun merupakan penyerang bertaraf dunia. Satu-satunya halangan dan mimpi buruk buatnya adalah Sam Allardyce, pengurus Newcastle United ketika saya beraksi di sana.

"Allardyce membiarkan penyerangnya keseorangan di atas padang dan sistem yang diterapkan tidak dapat membantu penyerang pasukan," kata Belozoglu.