Belgium hilang khidmat Hazard

By Stefan Coerts 20 March 2017
 Belgium hilang khidmat Hazard
Penggempur Chelsea, Eden Hazard, terpaksa disisihkan daripada skuad Belgium bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia menentang Greece dan aksi persahabatan dengan Russia ekoran kecederaan betis. 

Pemain itu ditimpa masalah itu dalam sesi latihan ketika The Blues dalam persiapan bertemu Stoke City.

Bagaimanapun, dia tetap terbang ke Belgium dengan harapan Roberto Martinez dapat menggunakan khidmatnya, namun pemain berusia 26 tahun itu bakal kembali ke Chelsea untuk menjalani rawatan. 

"Ketiadaan Eden adalah kehilangan besar tetapi ia juga menarik untuk melihat bagaimana kami menghadapi situasi ini," kata Martinez dalam sidang media. 

"Eden mengalami kecederaan betis sehari sebelum aksi menentang Stoke. Berdasarkan laporan yang diberikan Chelsea, kecederaannya tidaklah begitu teruk. Eden tiba di Belgium semalam, namun dia tidak akan kekal bersama pasukan ini. 

"Sudah tentu ia adalah kekecewaan apabila tanpanya. Dia merupakan ketua pasukan yang profesional. Tetapi kecederaan adalah sebahagian daripada permainan ini. Kami akan menghadapi cabaran besar tanpa Eden."

Belgium menghuni tangga teratas Kumpulan H dengan 12 mata hasil daripada empat perlawanan, dua mata mengatasi Greece. 


About Author

Stefan Coerts

Comment