Paul Pogba belajar banyak perkara penting ketika di bawah bimbingan Warren Joyce di Manchester United, namun pengurus Wigan Athletic itu berharap pemain tengah itu 'berhenti' daripada mendengar arahannya menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Piala FA di Old Trafford, esok.

Joyce merupakan pengurus pasukan simpanan United selama lapan tahun sebelum beralih angin untuk mengendalikan Wigan, November tahun lalu.

Ia bermakna Joyce pernah terlepas pandang bakat Pogba sebelum perancang itu berpindah ke Juventus.

Dalam sidang akhbar perlawanan pusingan keempat itu, pengurus kelab Liga Kejuaraan tersebut tidak dapat menahan daripada mengkritik gaya rambut Pogba serta kegiatannya dalam media sosial -- sebelum tampil memuji pemain berusia 23 tahun itu.

Joyce turut memberi nasihat berguna dengan membandingkan Pogba di samping pemain hebat United yang lain.

Ditanya sama ada pemain termahal itu mampu mencapai potensi sebenarnya, dia berkata: "Itu bergantung kepada dirinya sendiri.

"Ia bergantung sama ada dia kekal dengan gaya rambut bodohnya atau terlibat dengan terlalu banyak gimik di luar padang.

"Saya tidak tahu... terpulang apa yang dilakukannya -- saya mengkritiknya. Tapi anda tahu Paul Scholes dan Ryan Giggs tidak banyak melakukan perkara seumpama itu."

Joyce secara berseloroh menambah: "Saya berasakan saya sudah memberikan mereka kata-kata perangsang."

Joyce, bagaimanapun, tetap memuji Pogba yang dilihat mempunyai kesungguhan untuk mencapai prestasi terbaiknya dalam setiap perlawanan.

"Dia sentiasa mensasarkannya (untuk menjadi pemain terbaik)," katanya.

"Tidak kira sama ada ia diiktiraf atau tidak, dia sentiasa mahu menjadi pemain terbaik.

"Dia berterus-terang mengenainya dan dia telah meletakkan standard tersendiri dan akan cuba mencapainya.

"Dia sentiasa mempunyai keinginan dan kepercayaan untuk melakukannya."