Steve Bruce mendedahkan David Beckham menyokongnya untuk mengambil alih tugas pengurus Newcastle United walaupun Alan Shearer berasa ragu-ragu.

Sebagai penyokong Magpies sejak zaman kanak-kanak, Bruce dilantik pengendali baru kelab itu minggu ini bagi menggantikan Rafael Benitez, yang meninggalkan pasukan selepas perselisihan faham dengan pemilik, Mike Ashley.

Penyokong Newcastle merancang untuk memboikot perlawanan pertama pasukan itu bagi menzahirkan kemarahan mereka terhadap Ashley manakala pelantikan Bruce -- bekas pengurus Sunderland -- turut tidak dipersetujui ramai.

Legenda kelab itu, Shearer, amat lantang menyuarakan pendapatnya bahawa individu baru tidak perlu dibawa masuk ke St James' Park, namun bekas rakan sepasukan Bruce di Manchester United, Beckham, lebih positif tentang isu itu.

"Ramai dalam kalangan mereka yang positif," katanya mengenai rakan-rakannya.

"'Anda perlu melakukannya', itu yang mereka katakan.

"Saya tidak mahu menyebut nama, namun David Beckham adalah salah seorang daripadanya.

"Saya perlu menunjukkan kepada anak perempuan saya kiriman pesanan itu.

"Shearer kata 'tidak, tidak, tidak'. Saya kata 'ya, ya, ya'.

"Dia kawan baik saya dan peminat besar Newcastle, namun saya tidak teragak-agak ketika menerima panggilan itu.

"Ketika ia menjadi nyata, saya tiada perasaan ragu-ragu. Saya pasti sudah gila," katanya.

Salah satu daripada tugasan pertama Bruce di Newcastle ialah untuk menyelesaikan masa depan Sean Longstaff, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.

"Longstaff adalah pemain yang kami mahu kekalkan. Dia memperlihatkan peningkatan yang hebat.

"Dia ada segala-galanya yang anda mahukan daripada seorang pemain, besar dan tegap dan boleh mengawal bola dengan baik.

"Kami perlu sedar bahawa dia pernah mengalami kecederaan yang teruk.

"Kami perlu memberikan galakan kepadanya dalam perlawanan pra-musim agar dia dapat bersedia untuk menentang Arsenal (dalam perlawanan pembukaan).

"Dia adalah pemain yang anda mahukan ketika membentuk pasukan.

"Saya hanya berjumpanya untuk sehari, namun dia memang sudah banyak meningkat.

"Dia mengingatkan saya kepada Michael Carrick.

"Saya tidak rasa dia akan ke Manchester United. Saya tidak rasa langsung," tambahnya.