Beckham sandar kepercayaan kepada Mourinho

By Staff Writer 1 December 2016 76
Beckham sandar kepercayaan kepada Mourinho

David Beckham meletakkan kepercayaan ke atas pengendali Manchester United, Jose Mourinho, meskipun kelab itu masih bergelut untuk mencapai tahap sepertimana dilakukan Sir Alex Ferguson.

Bekas kapten England itu mengakui telah menjangkakan senario kejatuhan United sejak persaraan Ferguson pada tahun 2013.

Namun, Beckham berharap Mourinho -- pengendali ketiga United sejak persaraan Ferguson -- akan menjadi calon terbaik untuk mengembalikan era kemegahan kelab itu meskipun menduduki tempat keenam liga ketika ini.

"Apa yang berlaku sudah dijangka," kata Beckham ketika sesi soal jawab di Sidang Kemuncak Kepemimpinan Discovery.

"United telah bergelut dalam beberapa tahun ini tetapi kami telah mendominasi Eropah untuk tempoh 20 tahun. Saya percaya dengan kemampuan Mourinho."

Sementara itu, Beckham sempat menjelaskan mengapa ketegasan Ferguson membuatkan pemain United beraksi dengan baik.

"Kami tahu jika kami tidak bermain dengan baik, orang pertama yang akan menanti kami di bilik persalinan adalah Sir Alex Ferguson. Dia menerapkan rasa gerun dalam diri kami tetapi ia membawa impak positif."

Tatkala menceritakan kenangan manisnya bersama The Red Devils, Beckham berkata saat paling membanggakan buat dirinya adalah ketika dilantik kapten England.

"Saya cukup bangga apabila dilantik selaku kapten. Ketika tugas itu diberikan kepada saya oleh Peter Taylor, saat itu merupakan yang paling manis dalam karier saya.

"Memimpin rakan sepasukan dan negara ke Piala Dunia, tiada apa yang mampu mengatasi saat itu."

About Author

Staff Writer

Comment