Bayern Munich tidak akan mengambil risiko ke atas Franck Ribery kerana pemain sayap Perancis itu masih bergelut untuk mengembalikan tahap kecergasannya bagi menghadapi Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara, minggu depan.

Ribery, 33, memulakan latihan secara berasingan dengan rakan sepasukan semalam, susulan kecederaan hamstring yang menghalangnya daripada beraksi.

Aksi Bundesliga bertemu Ingolstadt dianggap terlalu awal buat Ribery, dan Carlo Ancelotti akan terus memantau perkembangan pemain sandaran itu menjelang aksi dengan Arsenal di peringkat 16 Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Khamis depan.

"Hari ini, dia sudah memulakan latihan tapi sukar untuknya mencapai kecergasan berdepan Arsenal," kata Ancelotti dalam sidang media.

"Kami tidak akan mengambil sebarang risiko. Jika dia sudah bersedia, dia akan diturunkan."

Selain itu, pemain pertahanan, Jerome Boateng, turut menawarkan berita gembira buat Ancelotti apabila kembali berlatih selepas menjalani pembedahan bahu.

Seperti Ribery, Ancelotti turut mempunyai perancangan terhadap Boateng dengan menegaskan dia masih terlalu awal untuk diturunkan.

"Ingolstadt bermain dengan intensiti tinggi dan mereka sebuah pasukan mantap dengan bola tinggi."

Bayern kini memimpin Bundesliga dengan kelebihan empat mata di hadapan RB Leipzig, sekalipun diikat 1-1 dengan Schalke.