SUNDERLAND 1 ARSENAL 4

Arsene Wenger gembira menyaksikan Olivier Giroud kembali menemui rentak jaringan pada Sabtu apabila meledak dua gol ketika Arsenal menewaskan Sunderland 4-1 di Stadium of Light, semalam.

Pemain kebangsaan Perancis itu menjaringkan gol dalam dua sentuhan pertama selepas masuk menggantikan Alex Iwobi pada minit ke-69 untuk Gunners mendahului 3-1setelah sepakan penalti Jermain Defoe mengimbangi gol pembukaan Alexis Sanchez.

Sanchez menambah gol keempat pada penghujung permainan sambil Arsenal meraih kemenangan kelima dalam enam perlawanan Liga Perdana untuk mengisi tangga teratas.

Wenger memberitahu ia merupakan satu keputusan yang mudah untuk membawa masuk Giroud yang telah lama berehat akibat mengalami kecederaan.

"Saya boleh menerima keputusan 2-1 untuk perlawanan ini tetapi pada 10 minit terakhir, kami sangat selesa.

"Giroud hanya menyentuh bola dua kali sebelum menjaringkan gol, keputusan untuk membawa masuk Giroud merupakan satu keputusan yang mudah," kata Wenger.

"Kami bermain setiap tiga hari, jadi tiada pemain yang dapat beraksi dalam kesemua perlawanan dan ia terletak pada saya untuk mengimbangi pasukan.

"Giroud merupakan pemain yang telah menempuhi saat sukar, dia telah dipersoalkan oleh penyokong sebelum Kejohanan Eropah di Perancis, Jun lalu. Tetapi setiap individu di dalam pasukan memberkan sokongan kepadanya."