Joey Barton bakal menandatangani semula bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Burnley, dalam tempoh jangka pendek bermula Januari 2017.

Barton membantu Burnley melayakkan diri ke EPL musim lalu tetapi mengambil keputusan untuk meninggalkan Turf Moor dan menyertai kelab Scotland, Rangers.

Bagaimanapun, ia bukan satu perpindahan yang membuahkan hasil buat pemain berusia 34 tahun itu selepas digantung kerana bertelingkah dengan rakan sepasukan, Andy Halliday, setelah tewas 5-1 kepada Celtic pada September.

Barton telah digantung selama tiga minggu tetapi penggantungannya telah dilanjutkan oleh Persatuan Bola Sepak Scotland kerana terlgibat dengan perjudian dan Barton mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab itu pada November.

Bekas pemain tengah Manchester City itu kembali menjalani latihan bersama Burnley sejak bulan lalu untuk mengekalkan tahap kecergasannya sehingga Januari, sebelum menandatangani kontrak bersama kelab itu.

"The Clarets telah bersetuju untuk menawarkan kontrak kepada Barton sehingga penghujung musim ini," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Burnley.