Ross Barkley tidak akan terlibat dengan jelajah pra-musim bersama Everton susulan kontrak barunya belum mencapai kata sepakat.

Kecederaan pangkal paha menafikan pemain tengah itu untuk menyertai rakan sepasukannya dalam kunjungan ke Tanzania.

Bagaimanapun, masa depan tonggak England itu di Goodison Park belum terjamin berikutan kontraknya sedang memasuki tahun terakhir.

Pengurus Everton, Ronald Koeman, berkata pada Mei lalu, Barkley akan dijual sekiranya dia tidak bersetuju dengan syarat baru yang dikenakan.

The Toffees merupakan salah sebuah pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang paling aktif dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan mengikat lima pemain senior, termasuk Davy Klaassen dan Wayne Rooney untuk posisi yang sama dengan Barkley.

Rooney dan Klaassen akan turut terlibat dalam persiapan pra-musim itu, termasuk Michael Keane, namun Jordan Pickford dan Sandro Ramirez masih dalam percutian selepas terbabit dalam Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun.

Manchester United dan Tottenham Hotspur berminat mendapatkan Barkley yang menjaringkan lima gol dan mencipta sembilan bantuan gol dalam 36 aksi EPL, musim lalu.