Jose Mourinho menggesa anak-anak buahnya agar menjadi lebih matang untuk berdepan dengan tekanan menyarung jersi Manchester United.

Pengendali dari Portugal itu menghadapi pelbagai kritikan selepas percaturan buruknya menyebabkan The Red Devils terpaksa melupakan saingan Liga Juara-Juara Eropah susulan kekalahan di tangan Sevilla.

Namun, dia tampil mempertahankan diri dalam ucapan selama 12 minit ketika sidang media bagi menghadapi aksi suku akhir Piala FA bertemu Brighton and Hove Albion.

Dalam sidang media itu, Mourinho dilihat menggunakan perkataan tanpa berselindung mengenai pasukannya yang gagal dalam saingan Eropah dan ketinggalan 16 mata di belakang Manchester City, musim ini.

Walaupun tidak menyebut nama pemain yang dilihat gagal memenuhi tuntutan pasukan, dia memuji kehadiran serta usaha keras yang dipamerkan pemain seperti Nemanja Matic dan Romelu Lukaku, namun dalam masa sama memberikan amaran untuk mereka terus berjuang di Old Trafford.

“Jika anda mengimpikan sebuah pasukan dengan mentaliti yang kuat, anda perlu menjadi matang. Pemain-pemain perlu menyesuaikan diri dengan tahap yang diperlukan. Mereka perlu mengharunginya untuk menjadi lebih kuat,” kata Mourinho.

“Saya mengatakan bahawa kami bukan salah satu pasukan terbaik, bukan pilihan untuk bergelar juara. Saya menjelaskan perkara ini kepada anda kerana saya tidak boleh menggunakan perkataan lain tatkala masih dalam persaingan.

“Saya tidak boleh terus beraksi tetapi memberitahu anda bahawa peluang sudah tertutup. Saya lebih selesa untuk bercakap mengenai kebenaran usaha yang ditunjukkan pemain seperti Matic dan Lukaku berbanding bercakap secara umum dan memberitahu siapa yang beraksi buruk.”

Dalam masa sama, Mourinho menolak apabila United dikatakan pilihan sewaktu bertemu Sevilla, sebaliknya menyifatkan pasukan yang menduduki tangga kelima LaLiga itu lebih baik berbanding anak buahnya.

“Kami berdepan pasukan yang jelas lebih bagus berbanding United dalam tujuh tahun terakhir. Mereka memiliki sejarah yang baik dalam pusingan kalah mati, pasukan yang layak ke Piala Raja Sepanyol.

“Sevilla membuktikan mereka mempunyai corak permainan yang lebih baik selama beberapa tahun, termasuk konsep pencarian pemain yang hebat.

“Anda rasa tiada pemain Sevilla yang layak bersama pasukan saya? Sebenarnya, ramai,” ujarnya lagi.