Gerard Deulofeu akan menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Watford, secara pinjaman dari Barcelona untuk baki musim ini, demikian pengesahan pendahulu LaLiga itu.

Deulofeu, yang juga pemain sayap Sepanyol, kembali menyertai Barca dari Everton semasa luar musim apabila menunjukkan aksi mengagumkan dalam tempoh pinjamannya di AC Milan.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu hanya membuat lima penampilan utama dalam LaLiga serta menjaringkan gol ketika menewaskan Malaga pada Oktober lalu.

Namun, kedatangan Philippe Coutinho dari Liverpool bulan ini mengurangkan peranan Deulofeu dalam skuad Ernesto Valverde itu.

Watford akan membayar penuh gaji Deulofeu dalam tempohnya di Vicarage Road, dengan bayaran tambahan sebanyak €1 juta (RM4.8 juta) kepada Barcelona jika syarat-syarat tertentu dipenuhi.

Akhbar Catalan, Sport, melaporkan tiada pilihan pembelian dalam pinjaman itu dan, walaupun Barca tidak menekankan isu tersebut secara langsung, kenyataan di laman web rasmi mereka berbunyi: "Pemain sayap Catalan itu akan meneruskan perkembangannya sebagai pemain bola sepak dengan kelab Watford."

Deulofeu menjaringkan lima gol daripada 62 penampilan dalam Liga Perdana ketika dua kali bersama Everton dan mungkin membuat penampilan pertama dengan Watford untuk menentang Stoke City dalam liga utama England, Khamis ini.