Cristiano Ronaldo tidak akan mengambil bahagian dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), namun peminat di Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk menyaksikan kelibat trio Barcelona, Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar.

Real Madrid menamakan skuad 26 pemainnya untuk Jelajah AS dengan pemenang empat kali Anugerah Ballon d'Or, Ronaldo, sudah dijangka tidak akan turut serta.

Ronaldo, 32, yang beraksi dalam Piala Konfederasi di Russia -- meninggalkan kejohanan itu sebelum Portugal beraksi untuk penentuan play-off tempat ketiga bagi meraikan kelahiran anak kembarnya -- turut membantu Madrid dalam kejayaan menjulang LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah.

Anak buah Zinedine Zidane yang akan membuka kempen ICC dengan menentang Manchester United pada 23 Julai -- turut menyenaraikan bintang utamanya, termasuk Gareth Bale, Karim Benzema, Toni Kroos, Luka Modric, Isco, Marcelo dan muka baru, Theo Hernandez.

Alvaro Morata juga mengikuti jelajah itu sekalipun dikaitkan akan meninggalkan juara Sepanyol dan Eropah itu.

Morata pada awalnya dijangka akan menyertai United sebelum mereka memilih Romelu Lukaku, dan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, kini dianggap destinasi utama untuk penggempur Sepanyol itu.

Tatkala Madrid kehilangan Ronaldo, Barca pula membariskan Messi, Suarez dan Neymar.

Messi, yang sudah menandatangani kontrak baru selepas melangsungkan perkahwinannya dengan Antonella Roccuzzo di Rosario, menjadi perhatian utama bagi skuad Barca yang akan dikendalikan oleh Ernesto Valverde.

Valverde yang dilantik bagi menggantikan Luis Enrique turut menamakan Javier Mascherano, Andres Iniesta, Gerard Pique, Ivan Rakitic dan Arda Turan dalam kunjungan ke AS.

Begitupun, penjaga gol utama, Marc-Andre ter Stegen, diketepikan susulan masih segar dengan kejayaan Jerman menjulang Piala Konfederasi.

Barca akan berdepan finalis Liga Juara-Juara musim lalu, Juventus, di New Jersey pada 22 Julai ini.