Michael Ballack menasihati Mesut Ozil supaya meninggalkan Arsenal dan berhijrah ke Bayern Munich sekiranya dia mengimpikan kejuaraan utama.

Masa depan Ozil di Arsenal menjadi tanda tanya ekoran rundingan lanjutan kontraknya yang akan berakhir pada 2018, masih buntu.

Ozil, 28, semakin kerap dikaitkan dengan beberapa kelab besar, namun Ballack berasakan kepulangannya ke kancah Jerman adalah pilihan terbaik jika dia berpindah.

"Mesut seorang pemain yang menakjubkan. Dia sedar dia adalah bintang utama di Arsenal," kata Ballack kepada Sport Bild.

"Kalau dia mahu memenangi kejuaraan utama, dia memiliki peluang besar untuk mencapainya di Bayern."

Arsenal pasti akan meletakkan tanda harga tinggi untuk melepaskannya sekiranya Ozil sendiri meluahkan hasratnya, namun Ballack percaya soal harga tidak menjadi isu buat Bayern.

"Jika anda melihat kepada trend semasa di England dan China, lambat laun Bayern akan sanggup mengeluarkan dana sebesar EUR50 juta (RM237j)," tambahnya.

"Mereka perlu melakukannya untuk terus bersaing hebat.

"Jika anda mahukan pemain berkelas dunia, anda perlu melabur."